Artikel ini ibu copy paste dari babycenter.
Terdapat banyak kekeliruan tentang bilakah
selamat untuk memperkenalkan sesuatu makanan untuk bayi. Ibu yang mula
memperkenalkan pepejal awal kepada bayi mereka sering mendengar rayuan
menderu-deru "telur tak boleh, kacang tak boleh, buah sitrus tak boleh,
gandum tak boleh, kismis tak boleh, kiwi tak boleh", dan senarai pantang
larang ini kian bertambah. Kadang-kala nasihat yang diberikan khusus
untuk bayi yang mempunyai kesulitan tertentu, contohnya, bayi dari
keluarga yang mempunyai sejarah
alergi yang ketara, langsung diterima dan digunapakai untuk semua bayi. Jika keluarga anda menghidapi
penyakit asma,
ekzema atau
alergi makanan,
adalah baik jika anda berbincang dengan doktor keluarga untuk
mengetahui sama ada bayi anda perlu mengelakkan makanan tertentu untuk
masa yang lebih panjang.
Kementerian Kesihatan mengesyorkan
penyusuan badan selama enam bulan. Bacalah artikel kami tentang
memperkenalkan pepejal untuk maklumat lanjut.
Jika anda memilih untuk memperkenalkan pepejal lebih awal dari enam
bulan setelah berbincang dengan doktor anda, ada sebilangan makanan yang
anda patut elak sebelum
usia enam bulan. Bacalah artikel di sini untuk maklumat tepat supaya boleh membezakan antara fakta dan dongeng.
Gandum, oat dan lain makanan mengandungi gluten
Risiko dijangkiti penyakit seliak berkurangan jika anda menghindarkan dari mengambil makanan mengandungi
gluten,
seperti gandum, gandum hitam dan makanan berasaskan barli. Ini termasuk
roti, tepung gandum, pasta, sesetengah bijirin sarapan dan biskut rusk
sehingga
usia enam bulan. Oat elok dielakkan juga, sebab ia mungkin diproses di kilang yang juga memproses gandum.
Telur
Telur masak boleh dimasukkan ke dalam diet bayi anda apabila dia berusia
enam bulan.
Anda harus menghindari daripada menggunakan telur mentah dalam diet
bayi sebab kadang-kala ianya mengandungi salmonela, yang boleh
menyebabkan keracunan makanan. Apabila memasak telur untuk bayi anda,
pastikan telur dan putih telur itu kental. Atas rasional yang sama,
adalah baik untuk tidak memberikan anak anda sebarang makanan yang
berkemungkinan mengandungi telur mentah, seperti campuran kek yang tak
masak, ais krim buatan rumah atau mayones, atau makanan pencuci mulut
yang mengandungi telur mentah, seperti
mousse.
Kacang-kacang
Memang benar yang anda sepatutnya tidak memberi kacang bulat kepada kanak-kanak berusia di bawah lima tahun sebab risiko
tercekik.
Tetapi mentega kacang dan kacang kisar sesuai untuk untuk bayi lebih
dari enam bulan dan kanak-kanak yang tidak mempunyai sejarah
alergi keluarga.
Alergi yang serius terhadap kacang-kacang dan produk kacang, dan
jenis kacang tertentu menjejaskan kurang daripada satu peratus populasi.
Bayi anda mungkin lebih berisiko jika anda, suami anda, dan adik
beradik, mempunyai masalah alergi seperti
hayfever (alergi gatal disebabkan debu),
penyakit asma dan/atau
ekzema.
Dahulu disyorkan bahawa jika anda atau suami anda mempunyai sejarah alergi, anda mungkin mahu cuba mengelakkan
kacang tanah semasa
kehamilan dan penyusuan badan,
dan tidak memberikan anak anda kacang tanah untuk tiga tahun pertama
usianya. Namun begitu, Agensi Piawaian Makanan UK telah mengatakan
bahawa nasihat ini harus ditarik balik, sebab tiada bukti yang cukup
untuk mempertahankannya. Walau bagaimanapun, alergi kacang tanah jarang
terdapat di kalangan orang Asia.
Jika keluarga anda mempunyai sejarah
alergi,
dapatkan nasihat doktor anda apabila hendak bercerai susu. Anda juga
mungkin mahu merancang untuk membawa bayi anda berjumpa dengan pakar
alergi.
Makanan bijan, seperti minyak bijan, biji bijan
Alergi bijan kian bertambah, dan sama seperti
alergi kacang tanah, alergi bijan boleh melarat, dan boleh membawa kepada
anafilaksis.
Sekiranya keluarga terdekat bayi anda tiada sejarah alergi, anda
boleh memberikan anak anda makanan bijan seperti tahini (pes bijan)
apabila usianya mencecah
enam bulan. Jika keluarga anda mempunyai sejarah
alergi,
dapatkan nasihat pakar pediatrik tentang bercerai susu. Anda boleh juga
meminta dia mengaturkan perjumpaan bayi anda dengan pakar alergi.
Ikan dan produk ikan
Agensi Piawaian Makanan UK mengesyorkan
bahawa anda seharusnya tidak memberi sebarang ikan atau makanan kerang
kepada bayi lebih muda dari enam bulan, sebab terdapat kebarangkalian
kecil yang mereka akan mendapat reaksi alergi.
Kanak-kanak juga patut jangan makan ikan yu, ikan todak atau marlin.
Ikan-ikan ini mengandungi tahap merkuri yang tinggi dan boleh
menjejaskan perkembangan sistem saraf kanak-kanak yang sedang membesar.
Jangan berikan kerang-kerangan mentah kepada bayi dan kanak-kanak,
sebab makanan ini membawa risiko keracunan makanan yang tinggi.
Ikan, terutama ikan lemak atau berminyak, seharusnya menjadi
sebahagian daripada diet yang sihat. Kanak-kanak dan dewasa disyorkan
memakan sekurang-kurangnya dua hidangan ikan setiap minggu. Satu
daripadanya harus ikan berminyak.
Ikan segar seperti salmon, trout, kod, haddock, ikan dalam tin
seperti sardin dan sardin besar, termasuk produk ikan seperti jejari
ikan dan kek ikan semuanya merupakan makanan berkhasiat untuk
kanak-kanak. Elak dari memberi ikan tin yang diawet dengan air masin,
sebab tahap garam dalamnya adalah lebih tinggi daripada ikan yang
disimpan dalam minyak.
Kacang soya dan produk berasaskan soya
Setengah kanak-kanak kecil mempunyai
reaksi alergik terhadap soya dan produk soya termasuk susu formula soya.
Simptom alergi soya sama seperti alergi susu, dan melibatkan ruam
tebal,
cirit-birit,
muntah-muntah, perut memulas dan sesak nafas. Jarang sekali, namun boleh berlaku, ialah
anafilaksis. Kanak-kanak yang alergik terhadap susu lembu sepatutnya diberikan
formula berasaskan soya selepas mendapat nasihat perubatan
sebab bayi yang alergik terhadap susu lembu juga kadang-kala alergik
terhadap soya juga. Susu dihidrolisis tinggi atau formula kasein adalah
alternatif kepada susu dan formula berasaskan soya. Mintalah nasihat
doktor anda.
Buah kiwi
Ada segelintir orang yang melaporkan
reaksi terhadap buah kiwi. Setengah reaksi ini adalah serius, terutama
yang melibatkan kanak-kanak, dan bilangan orang yang terjejas nampaknya
semakin bertambah. Ini mungkin berkaitan dengan peningkatan penyakit
alergi secara keseluruhan, apatah lagi buah ini telah menjadi semakin
popular di kalangan kanak-kanak.
Buah kiwi merupakan sumber yang kaya dengan vitamin C, kalium dan
serat. Jika anak anda sudah mempunyai alergi terhadap makanan tertentu,
atau jika terdapat sejarah alergi keluarga, anda dinasihatkan supaya
tidak memberi anak anda buah kiwi sebelum usia enam bulan.
(Sebaik-baiknya, anda tidak memperkenalkan sebarang pepejal sebelum usia
enam bulan, melainkan anda dinasihatkan sebaliknya oleh doktor keluarga
anda atau pakar pediatrik.)
Madu
Madu ialah gula, dan memberikan anak anda
gula menggalakkan kegemaran terhadap makanan manis dan mengakibatkan
kerosakan gigi. Agensi Piawaian Makanan UK mengesyorkan bahawa anda
tidak memberi anak anda
madu
sebelum usia satu tahun, sebab ada kalanya ia mengandungi bakteria yang
boleh mengeluarkan toksin dalam usus bayi. Ini dikenali sebagai
botulisme bayi. Apabila bayi anda mencapai
usia satu tahun, ususnya sudah matang dan sudah boleh menangani bakteria dari membiak.
Kismis
Kismis dan lain buah kering seperti kismis anggur hijau menyediakan snek berkhasiat bagi bayi yang lebih tua atau
kanak-kanak bertatih.
Walau bagaimanapun, sebarang makanan berkeping kecil mempunyai potensi
risiko bayi tercekik, apatah lagi jika umur anak anda kurang dari satu
tahun. Oleh itu, adalah baik jika anda hadir semasa anak anda mencuba
makanan jejari seperti kismis dan anda harus memastikan yang dia telah
sudah cukup sedia dari segi perkembangannya untuk mengunyah dan boleh
duduk tegak secara sempurna, selain dari menguasai pegangan sepit untuk
mencengkam dengan ibu jari dan jari telunjuk dan mengangkat barang.
Buah sitrus
Buah sitrus seperti oren, oren mandarin,
limau gedang, lemon dan limau nipis mengandungi banyak vitamin C.
Sebelum usia enam bulan, bayi tidak seharusnya diberikan jus buah dan
buah sitrus. Jika anda membeli makanan bayi tersedia, telitikan label
untuk mengetahui sama ada ia mengandungi buah sitrus seperti lemon
sering dimasukkan ke dalam puri makanan bercerai susu awal seperti epal
dan pisang. Jika memberi jus buah, berikan untuk hidangan utama sahaja
dan pastikan ia betul-betul cair (satu bahagian jus untuk 10 bahagian
air) dan berikannya dalam cawan atau bikar, bukan botol. Jika diminum
secara cepat, ianya membantu mengurangkan risiko
kerosakan gigi akibat kehadiran gula-gula dan asid secara semula jadi.
Strawberi and raspberi
Buah berbiji kadang-kala menyebabkan
reaksi alergi bagi bayi. Tunggulah sampai bayi anda berusia enam bulan
sebelum memberikannya. Reaksi alergik terhadap buah-buah jenis ini dan
sayur-sayuran selalunya tidaklah serius, setakat menjejaskan mulut,
menyebabkan rasa gatal atau ruam tebal di tempat-tempat di mana makanan
itu menyentuhi bibir dan mulut. Ini dikatakan sindrom alergi mulut.
Susu lembu
Pada umumnya, pakar bersependapat bahawa
anda seharusnya tidak memberi bayi anda susu lembu atau produk susu
lembu sehingga bayi anda berusia enam bulan. Dari umur enam bulan,
bolehlah anda mencampurkan sedikit susu lembu penuh krim dalam masakan,
contohnya dalam sos keju atau kastard. Elakkan daripada memberi
susu lembu sebagai minuman sehingga bayi anda
berusia satu tahun,
sebab ianya terlalu rendah dalam zat besi dan khasiat lain. Susu rendah
lemak tidak sesuai untuk kanak-kanak di bawah dua tahun, tetapi boleh
diberikan apabila mencapai umur dua tahun, asalkan tabiat makan anak
anda itu sempurna, dietnya bervariasi, dan berat badannya normal. Jika
tidak, gunakan susu penuh lemak sehingga anak anda berumur lima tahun.
Susu rendah lemak tidak sesuai bagi kanak-kanak di bawah lima tahun
sebab jumlah kalori dan vitamin penting dalamnya terlalu rendah.
Susu kambing dan biri-biri
Jangan beri susu kambing atau biri-biri
kepada bayi di bawah satu tahun. Jika anda memilih untuk menggunakannya
selepas setahun, pastikan ianya dipasteurkan.
Susu formula menyusul
Susu menyusul (atau susu membesar)
diperbuat dari susu lembu dan dipasarkan atas kepercayaan yang ianya
kaya dengan zat besi. Tidak ada keperluan untuk membeli formula membesar
untuk menggantikan formula bayi. Jika anda bercadang menggunakannya
juga, pastikan usia bayi anda sudah melebihi enam bulan.
Keju
Keju ialah satu sumber yang kaya dengan
kalsium, dan menyediakan konsentrasi sumber tenaga. Anda boleh
memasukkan sedikit keju dalam diet bayi anda dari usia enam bulan. Keju
lapuk matang yang lembut, seperti brie dan camembert, tidak sesuai,
sebab mempunyai risiko bakteria listeria.
Makanan serat tinggi
Makanan berserat tinggi adalah tidak
sesuai untuk bayi atau kanak-kanak muda. Penggunaan roti mil penuh,
pasta dan bijiran tidak menjadi masalah, tetapi elakkan daripada memberi
makanan ini terlalu banyak sebab ianya akan memenuhkan perut anak anda,
dan menjejasan pemakanan makanan lain.
Jangan masukkan sekam bijiran ke dalam makanan bayi anda sebab ia
menghalang mineral penting tertentu daripada menyerap masuk. Berikan
makanan berkanji yang bervariasi, termasuk pelbagai mil penuh untuk anak
anda tetapi elakkan daripada menggunakan makanan mil penuh secara
ekslusif sehingga anak anda berusia lima tahun.
Teh
Minuman teh tidak disyorkan untuk bayi
atau kanak-kanak kecil. Ianya mengurangkan penyerapan zat besi apabila
diambil dengan hidangan utama, ia mengandungi kafeina dan boleh
melecurkan mulut bayi anda. Jika teh ditambah gula, ia juga menyumbang
kepada kerosakan gigi.
Minuman bergas dan minuman soda
Minuman skuasy, minuman soda bergas, juga
susu berperisa dan minuman jus tidak sesuai untuk bayi dan kanak-kanak
yang baru mula bertatih. Ini disebabkan kanak-kanak yang banyak
diberikan minuman manis, terutama sekali minuman bergas dan skuasy,
didedahkan kepada risiko kerosakan gigi sebab minuman itu telah dicampur
dengan gula dan mengandungi asid. Juga terdapat risiko bagi kanak-kanak
yang "menyerempet" (graze iaitu makan snek) sepanjang hari
menjejaskan selera mereka untuk mengambil makanan yang lebih berkhasiat.
Setengah kanak-kanak juga akan menghidap "cirit-birit kanak bertatih"
sebab terlalu banyak mengambil skuasy.
Pati jus buah mengandungi banyak vitamin yang mujarab untuk
kesihatan kanak-kanak, terutama sekali vitamin C. Gula-gula yang
terkandung dalamnya adalah bahaya untuk gigi, jadi cairkan minuman itu
dengan baik (satu bahagian jus untuk 10 air), berikan jus semasa
hidangan utama sahaja, dan gunakan cawam atau bikar, bukan botol.
Minuman yang terbaik untuk kanak-kanak pada masa selang antara hidangan
utama ialah air dan susu. Ini tidak mengandungi gula-gula yang boleh
merosakkan gigi. Susu juga mengandungi vitamin dan mineral penting,
seperti kalsium, vitamin B2 dan B12.