Friday, January 27, 2012

Anatomi Payudara

Penting untuk mengetahui anatomi payudara supaya kita faham bagaimana ia berfungsi dan bagaimana mengekalkan fungsinya… (bukan senang untuk mengekalkan penghasilan susu berterusan selama 6 bulan dan seterusnya 2 tahun!)

Kelenjar Mamari
Kelenjar mamari atau kelanjar susu adalah suatu organ yang terdapat pada mamalia betina (perempuan) untuk menghasilkan susu untuk anaknya. Kelenjar eksokrin ini merupakan ciri mamalia iaitu menyusukan anak dan juga daripada mana nama kelas “mamalia” itu sendiri terhasil.

Struktur kelenjar susu.
Komponen asas kelenjar susu adalah alveolus yang dilapisi sel perembes susu dan dikelilingi oleh sel mioepitelia. Alveolus ini berkumpul untuk membentuk sekumpulan lobus dan setiap lobus mempunyai duktus laktiferus yang menjurus ke bukaan pada puting susu. Sel mioepitelia boleh mengecut, sama seperti sel otot, dan seterusnya menolak susu daripada alveolus melalui duktus laktiferus ke arah puting di mana susu akan terkumpul pada duktus sinus di bawah areola.

Perkembangan dan kawalan hormon
Perkembangan kelenjar susu dikawal oleh hormon. Kelenjar susu sebenarnya terdapat pada kedua-dua jantina lelaki dan perempuan. Namun begitu kesan rembesan hormon pada ovari merangsang perkembangan kelenjar susu pada perempuan. Hormon estrogen menggalakkan perkembangannya manakala hormon testosterone merencat pertumbuhannya.

Pembentukan kelenjar susu sudah terbentuk sejak kelahiran lagi, iaitu pembentukan duktus laktiferus tetapi tiada alveolus. Semasa akil baligh hormon estrogen mula dirangsang untuk menghasilkan cabang-cabang duktus yang kemudiannya akan berkembang menjadi alveolus. Alveolus sebenar hanya akan terbentuk semasa kehamilan dengan pertambahan hormon estrogen dan progesteron yang akan membentuk lebih banyak cabang duktus serentak dengan pembentukan lebih banyak tisu adipos dan salur-salur darah.

Kolustrum akan mula dihasilkan pada peringkat akhir kehamilan dan seterusnya pada hari-hari awal selepas kelahiran. Susu sebenar akan dihasilkan beberapa hari selepas itu apabila kandungan progesteron mula menurun manakala kandungan prolaktin mula meningkat. Hisapan bayi akan merangsang pengeluaran oksitosin yang akan merangsang pengecutan sel mioepitelia yang menyebabkan pancutan susu.

No comments:

Post a Comment