Thursday, March 1, 2012

Idealkah Berat Bayi Anda?

Idealkah Berat Bayi Anda?

Melihat bayi yang sihat atau montel memang membuat kita rasa geram. Namum pernahkah anda terfikir apakah berat tubuh bayi anda adalah berat yang ideal dan bersesuaian dengannya? Jangan terlalu asyik dan suka bila melihat tubuh bayi semakin montel kerana jika alpa, bermakna anda membiarkan risiko obesiti menghampiri bayi anda.

Berat Ideal

Berat bayi yang normal sewaktu lahir adalah 2.5 kilogram ke atas. Jika kurang dari angka itu, bermakna bayi lahir dengan berat tubuh yang kurang. Kenaikan berat tubuh bayi yang normal dan sihat boleh dilihat dalam 3 bulan pertama. Pada usia 1 hingga 3 bulan, kenaikan berat tubuh yang normal adalah antara 150 - 250 gram seminggu. Pada usia 4 - 6 bulan pula, kenaikan berat badannya haruslah antara 350 - 450 gram sebulan. Pada usia antara 10 hingga 12 bulan pula, berat badan si kecil sebaiknya bertambah antara 250 - 350 gram sebulan.

Antara 1 hingga 6 bulan, pertambahan berat tubuh bayi biasanya berlaku dengan cepat. Apabila masuk usia 6 bulan ke atas, pertambahannya akan mula perlahan. Salah satu faktornya kerana bayi sudah mulai aktif bergerak. Hati-hati jika bayi yang berusia lingkungan 4 bulan hanya mengalami pertambahan berat tubuh kurang dari 200 gram seminggu, itu bermakna bayi mungkin menghadapi masalah kurang makan.

Bayi Sihat Vs Obesiti

Selalunya orang menyangka bayi yang montel dan berisi adalah bayi yang sihat tanpa disedari bahawa bayi itu berisiko menuju ke arah obesiti. Bayi akan menjadi gemuk jika jumlah makanan yang diambil melebihi dari keperluan tubuhnya. Kalori yang berlebihan akan terkumpul dan tersimpan menjadi lemak. Sel-sel lemak ini akan membesar dan melebihi dari jumlah yang dimiliki oleh bayi dengan berat tubuh yang normal.

Selalunya, si kecil yang tergolong gemuk mempunyai selera makan yang tinggi kerana telah diajari dengan tabiat pemakanan sebegitu. Kerana itu si kecil yang berat tubuh berlebihan selalunya sukar untuk turun berat badan kerana mempunyai nafsu makan yang tinggi.

Anda perlu risau dengan fenomena ini kerana obesiti berisiko menyumbang kepada pelbagai masalah kesihatan dan penyakit. Si kecil yang obesiti berisiko mendapat hipertensi (darah tinggi), diabetes dan gangguan ortopedik.

Diet Pada Bayi

Sebaiknya bayi yang baru lahir hingga berusia 6 bulan diberi susu ibu berbanding susu formula. Ini kerana susu lembu mempunyai kadar lemak yang lebih tinggi dari susu ibu. Diet pada anak yang berusia 1 tahun ke bawah seeloknya dilakukan setelah mendapat konsultasi doktor. Mengurangkan jumlah makanan yang diambil bukanlah satu tindakan bijak kerana si kecil sedang dalam proses tumbesaran dimana dia amat memerlukan gizi yang baik untuk tubuhnya.

Sebaiknya berikan anak makanan yang mengandungi serat yang tinggi dan paling penting, elakkan dari makanan yang manis, berlemak dan juga makanan segera

No comments:

Post a Comment